Lupus kenderaan berusia 10 tahun keatas tangani isu kesesakan - pakar
Lupus kenderaan berusia 10 tahun keatas tangani isu kesesakan - pakar
Desember 15, 2022 Posting Komentar
"Secara logiknya, melupuskan kenderaan lama merupakan amalan yang baik kerana ia dapat mengelakkan pemiliknya daripada berterusan menghabiskan wang untuk membaiki kerosakan."-pakar ISU kesesakan jalan raya di ibu kota nampaknya semakin hebat dibincangkan
susulan penambahan jumlah kenderaan secara mendadak menjelang pasca Covid-19. Ramai rakyat yang mengeluh terhadap situasi tersebut kerana mereka terpaksa menghabiskan masa yang lama dalam kereta ketika pergi dan balik kerja. Susulan itu, sebuah mekanisme telah dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota. Kumpulan diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail mencadangkan agar kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun. Katanya, polisi tersebut bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya. Justeru, mana-mana kenderaan yang telah melepasi had tempoh ditetapkan perlu dilupuskan supaya tidak berada di jalan raya. Secara logiknya, melupuskan kenderaan lama merupakan amalan yang baik kerana ia dapat mengelakkan pemiliknya daripada berterusan menghabiskan wang untuk membaiki kerosakan. Di samping itu, melupuskan kenderaan lama juga boleh membantu melestarikan alam sekitar kerana ia mengurangkan kadar pelepasan karbon berbanding kereta baharu. Namun, bagaimana pula melupuskan kenderaan lama mampu menyuraikan masalah kesesakan jalan raya yang dihadapi warga kota? Ini kerana setiap kenderaan lama yang dilupuskan pasti akan diganti dengan kenderaan baharu oleh pemiliknya. Bagi mereka yang mempunyai lebih dua buah kenderaan di rumah ia bukan satu masalah kerana mereka masih boleh memandu kenderaan lain yang belum mencapai had usia lupus..
Tapi, bagaimana pula dengan individu yang hanya memiliki sebuah kenderaan di rumah? Sudah pasti mereka akan menggantikannya dengan kenderaan baharu apabila genap usia lupus. Jika begitulah pelaksanaannya, maka tiada apa yang berbeza. Jumlah kenderaan dipandu di ibu kota tetap sama. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menilai polisi tersebut kerana ia berada di peringkat cadangan. Apa yang dibahaskan sekadar untuk mendapatkan gambaran ringkas bagaimana polisi tersebut berfungsi apabila dilaksanakan kelak..
Posting Komentar untuk "Lupus kenderaan berusia 10 tahun keatas tangani isu kesesakan - pakar"