Menang Tipis di Tioman, MB Pahang Dakwa Bukti Perpaduan BN, PH Diterima. Ini Reaksi Padu Muhyiddin Yassin
Kemenangan Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman merupakan bukti nyata penerimaan rakyat terhadap kerjasama gabungan politik itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Pahang.
Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kejayaan itu juga menunjukkan masyarakat sudah melihat rasional keputusan parti membentuk kerajaan negeri bersama PH, yang pertama kali berlaku, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Kerjasama itu dibuat bagi membentuk kerajaan negeri apabila keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi di DUN Pahang selepas BN menang 16 kerusi, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH menguasai lapan kerusi.
“Sudah tentu masyarakat boleh terima kerana jika tidak, mana mungkin kita boleh menang… saya telah jelaskan beberapa kali kerajaan negeri harus ditubuhkan (dengan kerjasama antara BN dan PH) supaya kita dapat melaksanakan tugas untuk rakyat.
“Sekiranya kerajaan negeri tidak dapat ditubuhkan, kerajaan negeri akan tergantung dan pihak yang rugi adalah rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin malam tadi.
Pada pilihan raya itu, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain mempertahan DUN Tioman dengan majoriti 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.
Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada PH mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) hanya memperoleh 58 undi.
Wan Rosdy berkata keputusan bekerjasama dengan PH di Pahang juga adalah selari dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang disifatkan dapat memudahkan perancangan kerajaan negeri.
Menteri Besar Pahang itu turut melahirkan keyakinan Mohd Johari (gambar, atas) dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan berkhidmat dengan baik kepada penduduk Tioman.
Sementara itu, Mohd Johari juga senada apabila menyatakan bahawa kemenangan dengan kerjasama PH bermaksud masyarakat mahukan sebuah kerajaan yang boleh membawa kestabilan politik dan ekonomi di Pahang.
“Saya juga berterima kasih kepada Pengerusi BN Pahang kerana banyak membantu dan telah mewujudkan kerjasama erat demi kepentingan dan kestabilan,” katanya.
“Memang tipis kubu sendiri walau bergabung 2 gabungan besar dikata rakyat terima.. Kesian Pahang dapat MB kurang cerdik begini..” komen seorang netizan
Berikut ucapan tahniah dan ulasan dari bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin: Padang Serai tanda rakyat tolak ‘penipuan PH-BN’
PN hari ini menganggap kemenangan calon mereka di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman semalam adalah bukti rakyat tidak meyakini “kerajaan campuran” yang ada sekarang dan menolak “penipuan” mereka.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata undi yang diberikan pemilih di kawasan parlimen tersebut menunjukkan petanda positif buat parti terbabit yang mendapat “sokongan padu”.
“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.
“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU ke-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN,” katanya hari ini.
Kenyataan bekas perdana menteri itu dibuat sebagai reaksi PN yang menawan kerusi parlimen Padang Serai yang sebelum ini dimenangi PH.
Calon PN, Azman Nasrudin, memperoleh 51,637 undi berbanding pencabar terdekat, Mohamad Sofee Razak (PH) dengan 35,377 undi. Ia menjadikan Azman – yang memenangi kerusi DUN Lunas atas tiket PH pada 2018 – berada di depan dengan kelebihan 16,260 undi.
Sementara itu bagi pilihan raya DUN Tioman, calon BN – yang turut disokong PH – mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas PN.
Calon BN, Mohd Johari Hussain, memperoleh 8,080 undi mengalahkan Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.
Kata Muhyiddin dia menganggap “penipuan” yang dilakukan PH dan BN dalam PRU ke-15 adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.
“Dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti tersebut,” katanya.
Ahli parlimen Pagoh berkenaan juga menasihatkan Nor Idayu agar kekal berjuang bersama PN.
“Kita berada di landasan yang benar,” katanya.
Cikgu Azman tekad jadi pembangkang berwibawa di Dewan Rakyat
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin beriltizam untuk sebaris dengan pimpinan parti itu dan menjadi pembangkang yang berwibawa di Dewan Rakyat.
Beliau yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 16,260 undi, mengalahkan lima calon termasuk saingan terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak juga mahu memastikan hak warga Padang Serai terjamin.
“Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) dan wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak tanduk kerajaan campuran PH-BN (Barisan Nasional).
“Saya juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen kelak dan memastikan yang suara dan hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan selepas disahkan memenangi pilihan raya kerusi itu, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas yang dikenali Cikgu Azman itu memperoleh 51,677 undi, jauh meninggalkan Mohamad Sofee yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).
Sivaraajh sebelum ini menarik diri bagi memberi laluan kepada PH dalam pilihan raya itu susulan pembentukan kerajaan perpaduan, namun namanya masih kekal dalam kertas undi berdasarkan peraturan pilihan raya.
PH dengan bantuan Bersatu, berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Serai ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menerusi calonnya, M Karupaiya.
Karupaiya, 69, dicalonkan semula oleh PH untuk mempertahankan kerusi itu, namun meninggal dunia tiga hari sebelum hari mengundi 19 November lalu, menyebabkan pilihan raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke hari ini.
Dengan kemenangan Azman, PN yang menolak menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi pembangkang, kini memiliki 74 kerusi di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Azman berkata, kemenangannya bukti rakyat menolak pembentukan kerajaan antara PH dan BN, selain manifestasi penolakan terhadap lantikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Sehubungan itu, beliau berpandangan Anwar perlu menyelami mesej yang disampaikan majoriti rakyat Padang Serai dan berhati-hati dalam sebarang keputusan yang diambil.
AZMAN (tengah) bersama Muhammad Sanusi (dua, kiri) serta Shahidan selepas memenangi PRU15 Parlimen Padang Serai. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Posting Komentar untuk "Menang Tipis di Tioman, MB Pahang Dakwa Bukti Perpaduan BN, PH Diterima. Ini Reaksi Padu Muhyiddin Yassin"