Cuba eksport methamphetamine RM40.56 juta ke negara Asia Pasifik
Bagaimanapun, taktik licik sindiket itu dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 September lalu dan merampas 676 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM40.56 juta.
Difahamkan, sindiket mengisytiharkan barang dagangan berkenaan sebagai mesin moulding industri, namun pemeriksaan mendapati, jentera itu dikosongkan dan ruangnya diisi dengan dadah yang dibungkus di dalam foil aluminium.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, dadah jenis methamphetamine itu cuba dieksport ke salah sebuah negara Asia Pasifik.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita sebuah kontena bersaiz 12 meter di Pelabuhan Barat kira-kira 12 tengah hari 10 September lalu.
"Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu menjumpai 676 bungkusan teh yang dibaluti aluminium foil mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 676 kilogram yang dianggarkan bernilai RM40.56 juta.
"Kesemua bungkusan ini disembunyikan di dalam mesin moulding industri," katanya ketika sidang media, hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan di lokasi kejadian dan direman selama 12 hari bermula 11 September lalu bagi membantu siasatan.
"JKDM tidak menolak kemungkinan lebih banyak suspek akan ditahan dalam masa terdekat berdasarkan penemuan baru dan siasatan lanjut yang sedang dijalankan," katanya.
Mengulas mengenai modus operandi sindiket, Zazuli berkata, sindiket ini mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan bungkusan dadah berkenaan di dalam mesin moulding industri yang berkapasiti besar.
"Sindiket membuang komponen di dalam mesin moulding berkenaan dan mengisi bungkusan dadah itu. Kami mendapati ini adalah taktik terbaru dan setakat ini, rampasan ini adalah yang terbesar tahun ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai digesa untuk membantu pihak JKDM bagi memerangi jenayah penyeludupan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.
Posting Komentar untuk "Cuba eksport methamphetamine RM40.56 juta ke negara Asia Pasifik"